Wednesday, 26 June 2013

Persepsi atau Prestasi?

Persepsi dan prestasi. Dua perkataan yang identikal bunyinya.. tapi jauh sekali maksudnya. Dalam post ini kita akan melihat situasi dimana kedua perkataan ini boleh berkait rapat.

Kenapa tiba-tiba ada gambar pepsi?
Saya berada di kalangan majoriti kita yang memilih untuk hidup dengan makan gaji. Ya mungkin bagi sesetengah orang ia bukanlah sebuah pilihan.. malah ada pula yang menyalahkan takdir dan rezeki.. Kenapa? Kerana amat sedikit pemakan gaji ini berpeluang mengecapi nikmat kemewahan..

Tapi bukanlah definasi ini yang saya ingin ketengahkan. Berbalik kepada 'makan gaji' ini..  biasanya  ia berkait dengan sesebuah organisasi. Samada besar atau kecil, pasti akan ada sebuah hierarki; yakni bermula dari setinggi-tinggi orang atasan, hingga serendah-rendah orang bawah. Setiap aras biasanya diisi dengan golongan berbeza, baik dari segi tahap pendidikan, umur atau pengalaman.

Telah menjadi 'mind set' bagi golongan makan gaji ini; orang di atas adalah lebih berkuasa dari orang di bawah. Sedar atau tidak, kita (saya anggap sebagai orang bawah, rasanya ada ke menteri yang nak baca post saya ni?) sering merasa tergugat dengan kehadiran orang atasan ini, lalu mewujudkan satu lagi mind set; orang bawahan mesti tunduk pada orang atasan. Pada ketika ini, soal umur tidak lagi menjadi ukuran..

Jadi apa kaitan dengan pepsi?


Saya menulis post ini, berdasarkan apa yang telah saya lalui pada hari ini.. apabila saya merasai bagaimana kerja saya tidak dinilai dari segi prestasi, sebaliknya ia dinilai dari segi persepsi. Kita semua tahu betapa pentingnya persepsi yang baik bagi pekerja kepada majikan, atau suka saya gunakan orang bawah kepada orang atas. Dan persepsi yang baik itu, lahirnya dari prestasi yang baik, SEPATUTNYA.

Tapi alangkah malangnya apabila prestasi itu tidak kelihatan di mata orang atas (Saya tidak menyentuh soal keikhlasan bekerja, kerana ia akan memanjangkan lagi post yang kian membosankan ini) . Lebih parah apabila persepsi orang atas dicemari oleh anasir dalaman.. yang selalunya sangat hampir dengan kita sendiri.

Siapa yang dimaksudkan?

Saya panggil golongan ini 'pengipas'

Pengipas ini ada di mana-mana organisasi. Semakin besar organisasi, semakin lancang pengipas ini memusingkan bilahnya..begitu inferens saya. Di mana kedudukan dia? Telah saya nyatakan; sangat hampir. Sungguh menakutkan apabila pengipas ini sangat dekat dengan kita, tapi tidak kita sedari entah bila dia berpusing.

Mereka berselindung di sebalik topeng rakan sekerja, tanpa di sedari ligat memacu angin fitnah.

Angin inilah yang enak membuai orang atasan... hingga lupa akan beza prestasi dan persepsi. Prestasi tidak lagi diambil kira, sebaliknya persepsi yang dicemari menjadi ukuran. Lalu di manakah nilai seorang pekerja?

Sungguh hina. Ingin sekali saya meletakkan golongan pengipas ini di bawah tapak kaki. 


Memang lumrah, orang bawahan pastinya lebih ramai dari orang atasan. Ini menyebabkan pengawasan dari orang atasan itu tidak mencapai nilai sepenuhnya.. lalu kesempatan ini lah yang diambil oleh pengipas-pengipas ini, meniupkan angin pencemaran persepsi dan menerbangkan pergi nilai-nilai prestasi.

Merekalah yang hebat di mata majikan.

Merekalah staf terbaik.

Lalu apa yang harus dilakukan?

Dimanakah pepsi?

Sekian

Sunday, 23 June 2013

Akhirnya saya buka juga blog

Assalamualaikum pembuka bicara..


Tanggal 23 Jun 2013, hari ini, bermulanya langkah pertama saya di dunia blogging.. lewat sungguh rasanya, sedang jutaan blogger telah lama menempah ribuan follower, kemunculan saya umpama seekor bilis di lautan.. (betul ke perumpaan ni?)

Siapakah saya?

Cukuplah dikenali dengan nama Wan.. dan itu sahaja. Bukan lah seorang yang terkenal, berpengaruh, mahupun berkuasa.. tapi hanya lelaki biasa.

Apa yang akan saya tulis?

Saya mengenal blog sudah lama... tapi sekadar menjadi pembaca. Keinginan untuk mempunyai blog sendiri sudah acap kali singgah di fikiran, tapi ia pasti hadir dengan satu persoalan; Apa yang akan saya tulis? Baik blogger baru mahupun blogger lama, setiap orang punya jawapan yang berbeza. Dan jawapan saya;

-Apa yang saya fikir
-Apa yang saya rasa

Realitinya, saya sememangnya seorang yang kurang berbicara. Saya melihat, memerhati, dan meneliti dunia sekitar saya. Adakalanya akal ini melahirkan komen, mencetuskan pendapat. Tapi ia jarang sekali menggetarkan peti suara saya, lalu terpendam lah seribu rasa dari menjadi sepatah kata..

Lantaran itu saya melihat blogging adalah satu platform yang baik untuk saya. Tapi usahlah pembaca mengharapkan ulasan sebaik cendekiawan atau runtunan seindah sasterawan.. sekali lagi saya hanya lelaki biasa.. :-)

Cukuplah sekadar ini untuk post yang pertama. Mungkin yang membaca kini cuma diri sendiri... lantaran banyak lagi yang perlu dipelajari.

Sekian, sampai ketemu lagi..

Orang kita mengeluh dengan jerebu, mulut berasap tak ingat